Sejarah





Sistem penjara sudah wujud semenjak Zaman Kesultanan Melayu lagi. Pesalah yang melakukan jenayah akan dipenjarakan mengikut hukuman yang ditetapkan oleh pembesar negeri. Pada kebiasaannya banduan diletakkan di sesuatu bangunan dalam satu tempoh waktu yang panjang bergantung kepada kesalahan yang dilakukan. Peluang mendapat pengampunan amat tipis dan ini menjadi pengajaran kepada orang ramai untuk tidak melakukan kesalahan. Keadaan ini membolehkan keamanan dipelihara dengan baik. Langkah memberikan hukuman yang berat ini juga bertujuan membendung penentangan masyarakat tempatan kepada pembesar dan pemerintah.
Sistem pemenjaraan pesalah pada zaman kesultanan Melayu kekal sehinggalah kedatangan penjajah. Namun demikian sistem penjara pada zaman Portugis dan Belanda di Melaka kurang diketahui. Dalam masa yang sama hal ini tidak membawa legasi kepada sistem penjara zaman moden. Walau bagaimanapun sejarah penjara moden di Malaysia telahpun bermula semenjak abad ke-18 seiring dengan perkembangan aktiviti Syarikat India Timur British atau The East India Company (EIC). EIC memperkenalkan sistem penjara yang dibawa dari India yang merupakan tanah jajahan British. Selepas EIC melepaskan kepentingan mereka di negeri-negeri Melayu, maka kerajaan British menubuhkan sistem pentadbiran mereka yang membawa mandat daripada kerajaan di London. 
Pembentukan Sistem Penjara
Sejarah penjara moden Malaysia telah pun bermula semenjak abad ke-18 seiring pendudukan EIC di Pulau Pinang. Namun demikian penempatan EIC di rantau ini telah bermula di Bangkahulu pada tahun 1787, iaitu tiga tahun sebelum Pulau Pinang dibuka oleh Kapten Francis Light. Penempatan banduan di kepulauan Melayu berasaskan kepada taraf Bangkahulu ini sebagai Penal Settlement yang diberikan oleh kerajaan Inggeris kepada EIC. Banduan pertama diangkut dari Benggala pada tahun 1787. Malah pada waktu yang sama kerajaan Inggeris telah mengangkut banduan dari England dan Ireland ke Australia.
Pada 11 Ogos 1786, Kapten Francis Light mengibarkan bendera Union Jack di Pulau Pinang dan menamakan pulau ini sebagai Prince of Wales Island. Lord Cornwallis melawat Pulau Pinang pada bulan Februari 1790, bertujuan untuk melihat sendiri kedudukan Pulau Pinang dan mendapati ada peluang untuk dikembangkan. Pada tahun 1793, EIC membuka Pulau Andaman. Pembukaan penempatan baru EIC adalah ketika mereka menghadapi masalah kepadatan banduan di penjara India. Salah satu penjara besar terdapat di Alipur berhampiran Calcutta dan penjara daerah yang kecil terdapat di Bombay serta Madras telah menghadapi kepadatan banduan. Walaupun banduan menjadi masalah kepada EIC, namun mereka telah menjadikan banduan ini sebagai bekalan tenaga buruh yang murah. Banduan di India telah menjadi penting sebagai sumber pembinaan infrastruktur tanah-tanah jajahan. Banduan-banduan telah dijadikan buruh murah untuk membina pelabuhan, bangunan, jalan raya, jalan keretapi dan penjara. Secara ringkasnya, banduan menjaga sumber tenaga buruh murah dalam sektor pembinaan yang memerlukan kekuatan fizikal.
Menjelang akhir abad ke-18 dan awal abad ke-19, usaha secara besar-besaran dilakukan untuk mengangkut banduan dari India ke tanah jajahan di Asia Tenggara, khususnya Pulau Pinang, Melaka dan Singapura. Ini merupakan sebahagian daripada sistem antarabangsa terhadap migrasi paksaan (forced migration) seperti yang disebut, part of a larger international and inter-continental flow of forced migration.

1 Terdapat berbagai ejaan diberikan kepada tempat ini. Selain Bangkahulu, ada juga yang memanggil Bencoolen, Banka-Ulu, Bangkahulu. Benkulu dijajah oleh Inggeris pada tahun 1685 yang pada asalnya hanyalah sebuah perkampungan nelayan, tetapi kemudiannya dimajukan sebagai kawasan penanaman lada hitam. 

2 H.P.,Clodd, 1948, Malaya’s First Pioneer: The Life of Francis  Light, London, Luzac & Co., h. 73 dalam Samuel Wee Tien Wang, 1992, British Strategic Interests in the Straits of Malacca 1786-1819, Tesis  MA, Simon Fraser University, pp 46.

3 Clare Anderson, ‘The Feringees are Flying – the Ship is ours!: the convict middle passage in colonial South and Southeast Asia, 1790-1860’,Indian Economic Social History Review, 42, 2005, pp 143.

4 Clare Anderson, ‘The Feringees are Flying – the Ship is ours!: the convict middle passage in colonial South and Southeast Asia, 1790-1860’,  pp. 145.


Langkah menjadikan Undang-Undang Kesiksaan Pengangkutan telah membolehkan migrasi paksaan dilakukan ke atas banduan di India secara besar-besaran oleh pihak British ke tanah jajahan di Asia. Antara negeri yang menerima kesan besar ini pada peringkat awal adalah Tanah Melayu, khususnya Negeri-Negeri Selat. Undang-undang ini juga digunakan bagi memenuhi kepentingan utama pihak British mengejar keuntungan ekonomi di tanah jajahan baharu. Oleh itu, Penal Transportation mempunyai kesan terus terhadap cara banduan diurus. Oleh kerana Penal Transportation mempunyai kepentingan ekonomi, maka ini menyebabkan tiada penekanan terhadap disiplin tegas, pemantauan dan pemisahan. Kebanyakan Penal Settelements seperti di Pulau Pinang bertukar menjadi ‘neraka’ serta insiden bunuh diri berlaku menggambarkan banduan mengalami tekanan dan tidak mempunyai hak. Seterusnya, Melaka dan Singapura juga diperkenalkan dengan Penal Settlement di antara tahun 1825-1860.
Transportation Act telah digunakan secara maksium oleh EIC untuk mengangkut banduan dari India ke tanah jajahannya di Asia Tenggara. Pada tahun 1796, Francis Light telah berjaya memajak Pulau Pinang daripada Sultan Kedah. Keadaan ini telah membawa kesan besar terhadap kelahiran sistem penjara moden di Tanah Melayu. Pulau Pinang diperlukan untuk menjadi pangkalan tentera laut British di Asia Tenggara sebagai menjamin perjalanan kapal dagang mereka untuk sampai ke negara China. Apabila berjaya mendapatkan Pulau Pinang, Francis Light telah memulakan langkah menjadikan pulau berkenaan sebagai pangkalan. Dalam masa yang sama Francis Light juga terlibat secara langsung dengan rancangan EIC yang mahu menjadikan tanah jajahan mereka yang baharu sebagai tempat buangan banduan dari India. 
Faktor kedua yang membolehkan EIC mengangkut banduan, adalah kerana syarikat ini telah menubuhkan Penal Settlement di kawasan pertapakan mereka. Penal Settlement yang pertama di Asia bagi menempatkan banduan dari India ialah di Bangkahulu pada tahun 1787, diikuti oleh Pulau Pinang (1790), Pulau Andaman (1793), Melaka dan Singapura (1825). Pihak berkuasa kehakiman di Negeri-Negeri Selat dan wilayah Burma juga turut menggunakan hukuman menghantar keluar banduan dari penjara-penjara seluruh India. Antara penjara-penjara yang terlibat, misalnya penjara di Alipur (berhampiran Calcutta), Bombay dan Madras. Penghantaran banduan dari India telah membantu mengurangkan kepadatan penjara dan dalam masa yang sama menjamin EIC untuk mendapatkan bekalan buruh yang murah. Pada ketika EIC memperluaskan penguasaan mereka di negeri jajahan, tenaga banduan amat diperlukan.

5 A. Francis Steuart, A Short Sketch of the Lives of Francis and William Light, London, Sampson Low, Marston & Com, 1901, pp. 9.6 Marguerite E. Wilbur, The East India Company and the British Empire in the Far East, Stanford, Stanford University Press, 1945, pp. 14.

Penubuhan Penjara Moden
Apabila Lord Cornwallis tiba di India pada tahun 1786 untuk menjadi Gabenor Jeneral, beliau telah melaksanakan sistem keadilan berasaskan undang-undang British. Cadangan telah diberikan oleh Governor-General in Council bahawa seseorang yang dipenjarakan seumur hidup, menerima hukuman penjara tujuh tahun atau the forfeiture of their limbs, perlu dihantar ke Pulau Pinang atau tempat yang sama taraf dengannya. Berikutan dengan itu, setahun kemudian, seorang ahli perniagaan dari Calcutta bernama Crucifix telah mencadangkan bahawa Pulau Pinang boleh dijadikan sebagai:
`a convenient ‘dumping ground’ for convicts who, he considered, should be given to him for a term of some years and made to work for his private profits on the land’. 
Namun demikian cadangan ini ditolak oleh pemerintah kolonial di India. Walaupun ditolak, pihak pemerintah kolonial sentiasa mengkaji cadangan tersebut. Oleh itu menjelang bulan Januari 1789, pemerintah kolonial di India telah melaksanakan keputusan untuk mengangkut banduan ke Pulau Pinang. Pada tarikh berkenaan Gabenor Jeneral memberi kebenaran kepada Julius Griffith untuk mengangkut seramai 20 orang banduan dari Benggala ke Pulau Pinang. Griffith diberikan konsesi selama tiga tahun dengan syarat yang ditentukan untuk mengangkut banduan serta menikmati keuntungan daripada kegiatan ini. Walaupun Griffith diberikan konsesi mengangkut banduan, namun tiada maklumat mengenai kegiatan beliau mengangkut banduan ke Pulau Pinang. Kolonial British memberi kebenaran kepada pentadbiran Pulau Pinang untuk mengambil banduan bekerja dalam sebarang kaedah yang mereka rasakan baik (free to employ the convicts in any manner they thought proper) bagi menampung kos banduan ini. Langkah ini telah mendedahkan minat pentadbiran Pulau Pinang untuk mengangkut lebih ramai banduan dari India bagi dijadikan buruh murah.


7 Clare Anderson, ‘The Feringees are Flying – the Ship is ours!: the convict middle passage in colonial South and Southeast Asia, 1790-1860’, pp. 24. 

8 K.S. Sandhu, Indians in Malaya: Some Aspects of their Immigration and Settlement, 1786-1957, Cambridge University Press, 1969,  pp. 132

9 SSFR, 4 (1789-91), 30.1.1789; N. Majumdar, 1960, p 272; Aspinall, 1981, h. 208 dalam Sandhu, Indians in Malaya,  pp. 132.

Usaha membawa banduan daripada India telah menjadi satu kegiatan komersial. Banduan yang dibawa dari India pula mempunyai pelbagai latar belakang kesalahan jenayah termasuklah jenayah berat seperti membunuh. Antara gambaran yang telah diberikan adalah seperti berikut:
During the first half of the nineteenth century, the overwhelming majority of transportations convicts from India were found guilty of civil offences, usually involving violence against the person or murder, but sometimes burglary, robbery and gang robbery, or forgery. In 1802, EIC shipped Poligar rebels overseas from Tirunelveli District to Penang.
Francis Light adalah warder pertama yang dipertanggungjawabkan untuk mengendalikan banduan yang dihantar ke Pulau Pinang. Lord Cornwallis pula merupakan tokoh penting yang memainkan peranan terhadap penghantaran banduan dari India ke Pulau Pinang. Cornwallis tiba di Calcutta dalam bulan September 1786 dan menjadi Gabenor Jeneral berasaskan kepada perlantikan parlimen di bawah Akta Pitt India 1784. Salah satu perkara yang diberi perhatian oleh Cornwallis ialah kegiatan perhambaan. Pada 22 Julai 1789, beliau telah mengharamkan eksport hamba dari wilayah pentadbiran Benggala. Langkah ini diikuti oleh wilayah pentadbiran Madras yang turut mengumumkan pengharaman eksport banduan keluar pada 8 Mac 1790. Tujuan utama melarang membawa keluar hamba adalah untuk menghalang kegiatan penjualan kanak-kanak sebagai hamba. 
Menjelang tahun 1790, banduan dari India telah ditempatkan di Pulau Pinang. Mereka ditahan di Fort of Cornwallis. Keadaan ini merupakan landmark bagi penubuhan sejarah moden di Malaysia. Kumpulan pertama banduan yang dibawa adalah dua orang lelaki dewasa bernama Eyeno Deen Sheikdan (Ainuddin Sheidan) dan Mohamed Heiant yang dihantar oleh Gabenor Jeneral British dalam bulan Mac 1790. Kedua-dua banduan yang dibawa telah dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup (perpetual confinement). Kos penghantaran kedua-dua banduan ini ke Pulau Pinang sebenarnya ditanggung oleh pihak berkuasa Pulau Pinang. Bagi menanggung perbelanjaan banduan berkenaan, pihak berkuasa Pulau Pinang dibenarkan mengupah banduan bekerja. Kaedah inilah yang seterusnya digunakan oleh pihak berkenaan apabila mereka mula mengangkut banduan-banduan dari India. Dalam usaha membantu pihak berkuasa British di India mengurangkan kesesakan penjara, Pulau Pinang dapat menggunakan banduan yang dihantar sebagai buruh murah.


10 SSFR 94 (1824), 15.4.1824 dalam Sandhu, Indians in Malaya,  pp. 133.

11 J. Munro, magistrate Tirunelveli, to J.M. Macleod, secretary to government, Madras, 22 July 1825, TNSA MJC vol. 188A; Yang, ‘Bandits and Kings’; Clare Anderson, Subaltern Lives: Biographies of Colonialism in the Indian Ocean World, 1790-1920.

12 Apabila Francis Light dilantik sebagai Superitendent di Pulau Pinang pada 12 Ogos 1784, beliau telah menamakan pulau ini sebagai Prince of Wales Island. Sila rujuk Steuart, Lives of Francis and William Light,  pp. 22

Penjara Pertama Malaysia
Penjara pertama di Pulau Pinang telah dibina di Fort Cornwallis pada tahun 1790. Sebelum adanya bangunan, tempat ini adalah sebuah kubu. Sebelum ini, Light telah menempatkan banduan di tapak kubu Cornwallis di dalam bangunan yang dibuat daripada batang nibong. Pembinaan tembok daripada batu hanya dibina setelah ketibaan banduan dari India. Bahan-bahan binaan membuat penjara dan kota diperolehi daripada kawasan sekitar. Batu yang digunakan dipecah-pecahkan oleh banduan dan digunakan bukan sahaja digunakan untuk membuat tembok, tetapi digunakan juga bagi membina jalan raya dan bangunan sekitar Pulau Pinang. 
Menjelang tahun 1803, pihak British telah mendirikan penjara Cornwallis dengan menggunakan binaan konkrit, batu bata dan besi. Pembinaan penjara adalah serentak dengan pembinaan Kota Cornwallis. Penjara ini diberikan nama Penjara Cornwallis mengambil sempena nama penuh Lord Cornwallis. Kepesatan pelabuhan Pulau Pinang telah menjadikan pulau itu sebagai tumpuan golongan pedagang. Bagi mengawal keamanan daripada kepesatan penduduk, pihak British mula mengasaskan undang-undang yang dinamakan Charter of Justice pada tahun 1807.


13 Sandhu,  Indians in Malaya, 1824,  pp. 87.

14 SSFR, 94 (1824), 15.4.1824 dalam Sandhu, Indians in Malaya, pp. 87.

Pada tahun 1881, wadar Sikh dibawa masuk untuk membantu wadar Melayu dan pengajar pertukangan dari Hong Kong digunakan dalam usaha memperkenalkan perusahaan dalam penjara. Antara perusahaan awal adalah seperti pecah batu dan pertukangan kayu. Pada tahun 1882, satu percubaan pengkategorian banduan dilakukan dan pada tahun 1889 wadar berbangsa Eropah telah dilantik di sesetengah penjara. Dengan penubuhan Negeri-negeri Melayu Bersekutu, Penjara Taiping dijadikan pusat penahanan banduan hukuman lama bagi negeri Perak, Pahang, Negeri Sembilan dan Selangor. Pada tahun 1923, Sistem Hakim Pelawat telah diperkenalkan. Perusahaan penjara telah diperkembangkan dan meliputi kerja-kerja percetakan, menenun kain, jahitan, perusahaan rotan dan besi. Pada tahun 1924, pekerjaan pecah batu dihapuskan dan diganti dengan kerja pukul sabut kelapa. Semasa pemerintahan Jepun (1941-1945), penjara telah digunakan sebagai penjara awam dan juga tawanan perang oleh Tentera Jepun. Dalam tempoh peperangan inilah, semua rekod mengenai penjara dan banduan dimusnahkan.
Selepas Perang Dunia kedua, pihak British menyusun semula sistem penjara di negeri-negeri Tanah Melayu. Antara langkah penting yang dilakukan ialah cuba menyatukan sistem pentadbiran penjara di bawah kerajaan Persekutuan. Menjelang tahun 1946 E.S. Liley telah dilantik sebagai Komisioner Penjara Tanah Melayu yang pertama. Menjelang tahun 1948 W.B. Oliver pula dilantik menjadi Pemangku Komisioner Penjara Tanah Melayu. Bagaimanapun sistem penjara mengalami transformasi dengan perlantikan Kapten O.V. Garrat sebagai Komisioner Penjara pada tahun 1949. Garrat yang sebelum ini adalah merupakan Komisioner Penjara Gold Coast dan mempunyai pengalaman sistem kepenjaraan British banyak menyumbang terhadap perkembangan penjara di Tanah Melayu. 
Pada tahun 1952, Undang-Undang Penjara telah digubal dan diikuti penggubalan Peraturan Penjara Persekutuan pada tahun 1953 yang berdasarkan konsep pengurusan layanan diperkenalkan bagi menggantikan undang-undang sedia ada. Dalam tahun itu juga, Rang Undang-Undang Keadilan Jenayah (Criminal Justice Bill) telah diluluskan dan undang-undang ini telah memansuhkan penyeksaan dengan cemeti (cat of nine tails) dan penggunaan istilah "penjara" bagi perkataan-perkataan "penal servitude". 
Pada tahun 1957, adalah tahun kemerdekaan bagi Persekutuan Tanah Melayu dan Pesuruhjaya Penjara yang pertama dikalangan orang Melayu iaitu Tan Sri Murad bin Ahmad (03.10.1957 – 24.07.1977) telah dilantik untuk mengendalikan pentadbiran penjara di seluruh Persekutuan Tanah Melayu. Kerajaan Persekutuan pada ketika itu telah memperkenalkan United Nation Standard Minimum Rules For the Treatment of Prisoners (UNSMR). Dengan pemakaian kaedah ini Persekutuan Tanah Melayu menggunakan standard Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dalam sistem kepenjaraan negara. Persekutuan Tanah Melayu adalah di antara negara terawal yang menggunakan standard ini di kalangan negara-negara Komanwel. Berikutan dengan penubuhan Malaysia pada tahun 1963, Jabatan Penjara Malaysia telah dijenamakan semula dengan penyatuan peranan penjara yang terdapat di Sabah dan Sarawak.
Pada 2 November 1995 telah dikuatkuasakan Akta Penjara 1995 bagi menggantikan Akta Penjara lama 1952. Pada 1 September 2000 pula telah dikuatkuasakan Peraturan-Peraturan Penjara 2000 bagi menggantikan Peraturan-Peraturan Penjara tahun 1953. Perubahan dan pindaan kepada akta dan peraturan penjara ini adalah selari dengan perubahan lanskap perkhidmatan korektif di negara ini. 



Senarai Bekas-Bekas Ketua Pengarah Penjara

Nama
Tempoh
Capt. E.S. Lilley
01.04.1946 - 11.09.1949
Capt. O. Vrrat. Gat
11.09.1949 - 01.10.1956
Ft. Lt. W.B. Oliver
01.10.1956 - 02.10.1957
Tan Sri Murad b. Ahmad
03.10.1957 - 24.07.1977
Dato' Ibrahim b. Hj. Mohamed
25.07.1977 - 30.04.1988
Datuk Hj. Nik Ariffin b. Hj. Nik Omar
01.05.1988 - 07.11.1989
Datuk Mohd. Yassin b. Hj. Jaafar
01.03.1990 - 07.02.1994
Datuk Mohd Zaman Khan
09.02.1994 - 31.12.1997
Datuk Omar b. Mohamed Dan
01.01.1998 - 16.10.2001
Datuk Mustafa Bin Osman  17.10.2001 - 22.08.2009
Share:

Hak Cipta Terpelihara. © 2017 Jabatan Penjara Malaysia.
PENAFIAN : Jabatan Penjara Malaysia, Penjara Pokok Sena, Kedah TIDAK bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam laman ini.
Paparan terbaik pada Internet Explorer (9/10/11), Google Chrome, Mozilla Firefox 3 dan dengan resolusi minima 1366x768.

JABATAN PENJARA MALAYSIA Kompleks Penjara Pokok Sena, Km 24 Jalan Naka, 06400 Pokok Sena, Kedah Darul Aman. Tel : 04 782 5555 Faks : 04 782 1043 Email : Penjara Pokok Sena

Translate

Produk Penjara

Sokongan Anda

Popular Posts